Wednesday, 29 June 2022

BBK3401 PENGLAHIRAN BAKAT KREATIF

 Salam sejahtera saya ucapkan kepada pembaca saya. Dalam entri kali ini, saya ingin menyuarakan pengalaman saya tentang mengambil kursus BBK3410 Penglahiran Bakat diajari oleh Dr. Kamariah Kamarudin pada semester ini. 

  Saya masih ingat dengan jelas tentang kelas pertama saya. Pada beberapa bulan yang lalu, ketika kelas pertama bermula, saya sangat gementar kerana saya fikir kursus ini adalah mengenai bakat kreatif pelajar, tetapi saya ialah seorang yang tidak mempunyai bakat kreatif. Sewaktu pensyarah saya, iaitu Dr. Kamariah menjelaskan tentang tugasan yang perlu disiapkan dalam kursus ini, saya berasa sangat terkejut. Hal ini disebabkan tugasan kedua yang diberi oleh profesor adalah menghasilkan dua buah cerpen dan lima buah sajak. Saya tidak pernah menulis sebuah pun sajak sebelum ini, tetapi sekarang saya harus menulis cerpen dan sajak dalam waktu yang singkat. Pada akhirnya, bersyukur kepada Tuhan dan terima kasih kepada Dr kerana mengajar, mujurlah saya menyiapkannya.

  Tugasan pertama juga sangat menyeronokkan, untuk menyiapkan tugasan ini kami perlu mencari sasterawan negara kita dan pemenang SEA Write Award serta hasil karya mereka. Semasa saya membuat tugasan ini, saya barulah mengenali 14 sasterawan negara kita yang memberi sumbangan besar dalam bidang kesasteraan.

  Yang tugasan terakhir adalah menulis 14 entri blog. Inilah entri yang terakhir untuk tugasan ini. Berat hati ingin menulis entri untuk kali terakhir. Tanpa disedari 14 mingguan telah berlalu begitu pantas. Itu bermakna kursus ini juga berakhir. Selepas mengambil kursus ini, saya merasakan bahawa saya telah mendapat banyak ilmu. Saya berasa bersyukur kerana dididik oleh Dr. Kamariah yang begitu baik. Beliau ialah seorang pensyarah yang sangat bertimbang rasa terhadap pelajarnya. Beliau sering  mengajar kita untuk bersyukur kepada Tuhan dan ibu bapa yang dikasihi. Beliau juga menggalakkan kita semasa kami menghasilkan karya. Selain itu, beliau sering meminta kami membaca karya-karya penulis lain dan juga berkongsi banyak karya dengan kami.

  Meskipun saya tidak ingin, saya masih harus mengakhirinya. Sehingga bersua lagi di lain entri. Akhir kata, di sini saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Dr. Kamariah dan kawan yang membantu.

Sekian, 
Sydney.



Wednesday, 22 June 2022

Muhammad bin Abdul Beang @ Andi Muhammad Dahlan bin Andi Buyung (Arena Wati)

  Muhammad bin Abdul Beang @ Andi Muhammad Dahlan bin Andi Buyung ialah tokoh Sasterawan Negara Malaysia Ke-5 pada tahun 1988. Beliau lebih dikenali sebagai Arena Wati. Nama pena lainnya ialah Duta Muda dan Patria. Arena Wati dilahirkan pada 30 Julai 1925 di Kalumpang Kabupaten, Jeneponto, Makasar, Indonesia. Arena Wati menjadi warganegara Malaysia semasa beliau bertugas di Pustaka Antara, Kuala Lumpur di antara tahun 1962 hingga 1974. Beliau dirawat di Hospital HUKM Bandar Tun Razak sejak 20 September 2008 kerana barah paru-paru. Arena Wati meninggal dunia di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia pada 25 Januari 2009. Jenazah Arena Wati dibawa ke Masjid Wilayah Persekutuan di Jalan Duta untuk disembahyangkan dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara. 

  Semasa Perang Dunia II, beliau memulakan kerjayanya sebagai pelaut pada tahun 1943. Pengalamannya dalam bidang ini meningkatkan lagi kemampuan beliau dalam penulisan dan menghasilkan novel yang baik. Beliau telah menghasilkan sebanyak 24 buah novel, 87 buah cerita pendek, 6 buah antologi cerpen, 23 esei dan kritikan sastera, 9 buah buku kajian sastera, 12 buah puisi dan sebuah autobiografi. Pada tahun 1952, cerpen pertamanya yang berjudul “Impian dan Kenyataan” telah diterbitkan di majalah Pedoman Rakyat. Cerpennya yang lain ialah Wisata, Bukan Satu Jalan Ke Mekah, Alin Menggulung Perlahan, Burung Badai, Ombak Samudera dan lain-lain. Selain itu, beliau juga menghasilkan banyak novel. Novelnya yang popular adalah Sandera, Sukma Angin, Lingkaran dan Kisah Tiga Pelayaran. Trilogi Bara-Baraya adalah karyanya yang disiapkan ketika dirawat di HUKM. Karya tersebut berkisar mengenai perjuangan Melayu Nusantara.

  Pada tahun 1975, beliau telah dianugerahi pingat Ahli Mangku Negara oleh Yang Dipertuan Agung, bagi pihak Kerajaan Malaysia. Hasil kerja keras dan penulisannya yang tidak pernah jemu, Arena Wati telah menerima Anugerah SEA Write Award daripada Paduka Raja Thai pada tahun 1985 di Thailand. Pencapaian dan sumbangan Arena Wati dalam bidang kesusasteraan Melayu juga telah mendapat penghargaan apabila pada tahun 1987, beliau diiktiraf sebagai tokoh Sasterawan Negara Malaysia yang Ke-5. Pada tahun 2003, Beliau telah menerima Anugerah Doktor Persuratan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia atas sumbangan beliau dalam bidang sastera.

Sekian, terima kasih.


Muhammad bin Abdul Beang (Arena Wati)
Sasterawan Negara Malaysia Ke-5






Wednesday, 8 June 2022

Novel Justeru Impian di Jaring

 Salam sejahtera, semua. Dalam entri ini, saya ingin memperkenalkan sebuah novel Zaid Akhtar yang berjudul Justeru Impian  di Jaring.

  Novel bermula dengan memperkenalkan watak utama, iaitu Syahir. Syahir merupakan salah seorang pemain badminton skuad kebangsaan.  Dia telah ditemu ramah oleh rakan baiknya, iaitu Azmie.  Perbualan antara mereka berdua agak lama sehingga menyebabkan dia masuk ke dalam dewan untuk mendengar taklimat yang disampaikan oleh ketua jurulatih, iaitu Engku Aiman.  Hasil daripada taklimat tersebut, Syahir diberitahu bahawa mereka terpaksa menyertai kejohanan Terbuka Johor.  Peraturan dan kehendak Persatuan Bulu Tangkis Se-Malaysia (PBSM) mewajibkan mereka menyertai kejohanan tersebut terlebih dahulu adalah untuk menentukan sama ada mereka layak mewakili negara ke Jakarta atau tidak.  Peristiwa tertumpu pada perjalanan hidup Syahir sebagai seorang pemain badminton yang penuh dengan liku dan cabaran sebelum layak ke Jakarta.  Berita yang kurang menyenangkan daripada pihak PBSM telah menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan pemain, terutamanya Syahir.  Hal ini dikatakan demikian kerana, mereka terpaksa bersaing sesama sendiri.  Dalam peraturan baharu itu, Engku Aiman ​​berkata bahawa ranking dunia tidak akan menjamin prestasi semasa. Pengarang  juga memperkenalkan watak-watak lain seperti jurulatih, iaitu Haji Marzuki dan Mas Suparman, seterusnya pemain-pemain lain yang bertanding dengan Syahir seperti Syed Amiri, Wan Najhan, Bernard, Gopinath, Kam Heng, Boon Lee, Kim Seng,  Farhan, dan lain-lain lagi.  

  Syahir pernah menolak tawaran melanjutkan pelajaran ke Universiti Sains Malaysia dan meneruskan pengajian di UPM semata-mata kerana ingin tinggal berhampiran dengan tempat latihan.  Namun, pengajian di UPM juga terpaksa ditangguhkan kerana mahu fokus terhadap latihan badminton.  Penglibatan Syahir dalam dunia badminton bermula sejak dia di sekolah lagi.  Pada awalnya, ayah Syahir tidak merestui penglibatannya dalam sukan kerana menganggap tindakannya itu akan menjejaskan pelajarnya.  Namun akhirnya ayah Syahir mengalah lalu memberikan sokongan dengan syarat memelihara syariat Islam dalam bersukan dan memberi sumbangan kepada bangsa dan negara.  Haji Marzuki dan Mas Suparman terpaksa akur dengan keputusan PBSM dan terus melatih terutamanya Syahir dan Bernard yang dikatakan mempunyai potensi dalam permainan.  Syahir sering menjadi bahan sindiran dan ejekan oleh Syed Amiri dan Engku Aiman ​​yang tidak menulisnya.  Pada suatu hari, Syahir pergi ke pejabat rakan baiknya, Azmie di Taman Shamelin Perkasa.  Di sana dia didatangi oleh empat orang gadis dan Ratna, iaitu juara program Akademi Impiana untuk bergambar bersama-samanya.  Pada mulanya dia keberatan, tetapi akhirnya dia terpaksa akur apabila diberi alasan untuk bergambar beramai-ramai.  Konflik semakin rumit apabila dia digosipkan bercinta dengan Ratna apabila gambar mereka berdua tersiar dalam akhbar.  Perjalanan Syahir untuk mewakili negara ke Jakarta semakin rumit apabila berhadapan dengan masalah emaknya yang sakit sebelum dia k Johor.  Semasa kejohanan Terbuka Johor, Syahir telah ditewaskan oleh pemain skuad kebangsaan, Badminton Antarabangsa di Jakarta musnah.

  Syahir dipanggil secara tiba-tiba oleh jurulatihnya, Haji Marzuki untuk menjalani latihan. Dia dikehendaki menggantikan Gopinath ke Jakarta kerana rakannya itu terlibat dalam kemalangan jalan raya. Walaupun dia menghadapi dugaan apabila diberitahu bahawa emaknya menghidap strok, Syahir bertekad untuk melangkahkan kaki ke Jakarta bagi memikul harapan jurulatih dan negara. Di Jakarta, Syed Amiri yang dicanangkan sebagai juara telah tersingkir pada peringkat separuh akhir. Syahir yang berjaya ke peringkat akhir akan bertemu dengan Andri Minarwan, iaitu wakil tuan rumah. Akhirnya, Syahir berjaya menundukkan wakil dari negara Indonesia walaupun menghadapi kesukaran seperti keputusan pengadil yang berat sebelah, sokongan padu daripada para penyokong Andri, dan kesakitan pada bahagian perut yang dialaminya. Laungan "Malaysia Boleh" dan lagu Jalur Gemilang' telah menamatkan penantian rakyat Malaysia untuk melihat Syahir merangkul kejuaraan itu. Pada bahagian peleraian, Syahir hampir rebah semasa majlis penyampaian hadiah dan segera dikejarkan ke hospital. Syahir telah disahkan menghidap Apendisitis atau radang apendiks dan telah dibedah Jakarta sebelum dibawa pulang ke Malaysia. Syahir amat bersyukur dan menganggap bahawa kemenangan itu adalah untuk bangsa, agama, dan Sebaik-baik tiba di Malaysia, Syahir melawat emaknya di hospital dan menyerahkan pingat yang dimenanginya kepada emaknya. Azam Syahir yang seterusnya ialah dia mahu mewakili negara ke Sukan Olimpik pula.

  Dengan ini, novel ini telah peleraian. Pengarang telah memberi mesej yang penting kepada pembaca melalui novel ini. Ketabahan seorang pemain badminton dalam menghadapi dugaan sebelum bergelar juara dunia. Kita seharusnya mencontohi Syahir yang tidak mudah putus asa. Syahir tetap meneruskan latihan rutin sebagai pemain badminton walaupun telah tersingkir daripada senarai pemain skuad kebangsaan yang akan menyertai Kejohanan Badminton Antarabangsa di Jakarta. Dengan tabah mengharungi liku-liku kehidupan, beliau berjaya bergelar juara dalam Kejohanan Badminton Antarabangsa di Indonesia.

Sekian, terima kasih.

Wednesday, 1 June 2022

Cerpen Bawod

 Salam sejahtera kepada semua pembaca. Hari ini saya ingin mengkongsikan cerpen Bawod karya Janathan Kandok. Cerpen ini mengisahkan tentang persahabatan yang utuh antara manusia dengan haiwan peliharaannya. Beluntung memiliki dua ekor haiwan peliharaan yang dianggap seperti sahabatnya, iatu Tuyog, seekor kerbau dan Bawod, seekor kambing. Melalui hunbungannya dengan kedua-dua ekor haiwan ini, Beluntung belajar erti kehidupan dan pengorbanan daripada sahabat.

  Cerpen ini dimulai dengan kisah Beluntung yang berasa cemas dan resah apabila haiwan-haiwan peliharaannya, iaitu seekor kambing dan seekor kerbau disangkakan mati lemas akibat limpahan air sungai di halaman rumahnya yang terletak berhampiran Sungai Layong.  Beluntung yang gigih ke sekolah dengan menunggangi kerbau peliharaannya, Tuyog walaupun terpaksa meredah hujan lebat dan jalan berlumpur kerana peperiksaan darjah enam hampir. Beluntung dicemuh dan dipermainkan oleh kawan- kawannya kerana dia telah membawa kerbau peliharaannya ke sekolah.  Dia dicemuh dan dikatakan berbau kerbau.  Keadaan menjadi lebih tegang apabila pada suatu hari, Beluntung membawa kerbau dan kambingnya ke sekolah.  Basil, kawan sekelasnya telah mencampakkan buku-bukunya ke lantai menyebabkan tercetusnya pertengkaran kecil. Beluntung berjaya memperoleh keputusan lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan darjah enam.  Selain itu, Beluntung juga telah berjaya menjuarai perlumbaan kerbau dalam Pesta Lumba Kerbau peringkat kampungnya.  Ketika pulang dari Pesta Lumba Kerbau, Beluntung kehairanan apabila mendapati banyak orang kampung berada di rumahnya.  Beluntung gembira apabila mengetahui bapanya mengadakan kenduri kesyukuran untuk meraikan kejayaannya dalam peperiksaan darjah enam.  Beluntung terkejut apabila mendengar suara jeritan kambingnya.  Ketika dia menuju ke arah suara kambingnya itu, kakinya telah tersepak tunggu kayu menyebabkan dia pengsan seketika.  Setelah sedar daripada pengsan, Beluntung menangis apabila mendapati Bawod, kambing peliharaan yang dianggap sebagai sahabatnya itu telah disembelih untuk dijadikan hidangan dalam kenduri kesyukuran itu.  Bapa Beluntung menyesali tindakannya yang meminta bantuan jiran Sekampung menyembelih kambing itu tanpa berbincang terlebih dahulu dengan Beluntung.

  Penulis telah menekankan mesej yang penting kepada pembaca melalui cerpen ini, iaitu kita perlulah gigih dalam menempuh sebarang rintangan dan cabaran demi kerjaya masa depan. Contohnya, Beluntung gigh ke sekolah untuk belajar walaupun terpaksa kebasahan akibat hujan lebat dan terpaksa menunggung kerbaunya akibat jalan berlumpur. 

Sekali, terima kasih.

Wednesday, 25 May 2022

Cerpen Sekeping Tanah

   Selamat sejahtera, semua. Dalam entri ini, saya ingin mengkongsikan sebuah cerpen, iaitu Sekeping Tanah karya A. Rahman C.M. Cerpen ini bertemakan konflik adik-beradik dalam mempertahankan harta pusaka warisan keluarga. Hubungan kekeluargaan Harun adik-beradik diuji dengan harta pustaka peninggalan ayah mereka,iaitu sebidang tanah di sebuah bandar, Hisyam bersepakat dengan kakaknya, Halimah untuk membangunkan tanah pusaka peninggalan arwah ayah mereka itu walaupun mendapat tentangan daripada abang sulung mereka, Harun. 

  Cerpen ini berkisarkan hasrat Hisyam yang ingin membangunkan sebidang tanah pusaka peninggalan arwah ayahnya di bandar kerana memikirkan potensi tanah pusaka itu. Hisyam berbincang dengan abangnya, Harun dan kakaknya, Halimah berhubung dengan cadangannya untuk membangunkan tanah pustaka peninggalan arwah ayah mereka di bandar tersebut. Harun tidak bersetuju dengan cadangan Hisyam yang dianggap menyusahkan dan rumit. Harun bertegas meminta Hisyam menjual tanah pusaka tersebut kerana dia memerlukan wang hasil jualan tanah pusaka tersebut. Sementara itu, Hisyam dan Halimah bersepakat untuk menjual tanah pusaka itu tetapi kemudian membelinya semula untuk dibangunkan. Harun tergamam melihat adiknya,Hisyam dan Halimah yang sebenarnya mengurus projek pembinaan Konda Jaya. Mereka berjaya menyempurnakan pembinaan rumah kediaman mewah itu dengan menyerahkan kunci rumah kepada para pembeli. Harun berasa dirinya ditipu dan dipermainkan oleh adik-adiknya. Hiayam menjelaskan perkara yang sebenar kepada abangnya, Harun berhubung dengan pembinaan Konda Jaya di atas tapak tanag pusaka peninggalan arwah ayah mereka itu. Harun berasa terpukul dengan tindakannya tiga tahun yang lalu. Halimah dan Hisyam juga dikejutkan dengan berita penangkapan anak saudara mereka, Musa yang terlibat dalam kes bunuh. Hisyam melantik Halimah sebagai pengurus Syarikat Binajaya Sdn. Bhd. yang baharu.

  Pengajaran cerpen ini yang ingin disampaikan oleh penulis ialah kita perlulah rasional dalam membuat keputusan. Hisyam bersepakat  dengan Halimah untuk memajukan tanah pusaka peninggalan arwah ayah mereka disebabkan harga tanah yang melambung tinggi di bandar itu. Selain itu, kita juga perlulah berani mengambil risiko untuk kesejahteraan kehidupan masa depan. Hisyam berani membuat keputusan membeli semula tanah pusaka peninggalan arwah ayahnya dan membangunkan tanah pusaka itu dengan pembinaan kondo mewah.

Sekian, terima kasih.

Wednesday, 18 May 2022

Dato' Usman Awang (Tongkat Warrant)

 Salam sejahtera, semua. Dalam penulisan ini, saya akan memperkenalkan Sasterawan Negara Malaysia yang Ke-3, iaitu Dato' Usman Awang. Beliau  terkenal dengan nama penanya Tongkat Warrant. Usman Awang juga dikenali dengan nama Adi Jaya, Amir, Atma Jiwa, Manis, Pengarang Muda, Rose Murni, Setiabudi, U.A., Zaini dan barangkali lain-lain lagi. Beliau dilahirkan di Kampung Tanjung Lembu, Kuala Sedili, Kota Tinggi, Johor, pada 12 Julai 1929. Beliau berasal dari keluarga yang miskin. Ayahnya ialah seorang nelayan dan akan menjual rotan pada waktu musim tengkujuh. Ibunya telah meninggal dunia sewaktu beliau masih kecil lagi. Situasi dan keluarganya yang miskin tidak membenarkan beliau untuk meneruskan pendidikannya. Beliau hanya mampu belajar setakat darjah enam sahaja. Hari ini, saya mengkongsikan beliau adalah bertujuan untuk memberitahu pembaca, miskin tidak akan menghalang seseorang untuk berjaya. Dengan rajinnya seseorang, kita tentu akan berjaya.

   Beliau mempunyai banyak karya yang baik dalam bentuk cerpen, drama, novel, sajak dan sebagainya. Dalam bidang penulisan beliau lebih terkenal dengan lebih 200 puisi dan drama. Antara sajaknya yang cukup popular adalah “Pak Utih”, “Ke Makam Bonda”, “Nasib Buruh”, “Bunga Popi”, “Gadis Di Kuburan”, dan “Salam Benua”. Dramanya yang terkenal ialah "Matinya Seorang Pahlawan", "Tamu Bukit Kenny", "Serunai Malam" dan "Malam Kemerdekaan". Beliau hanya menulis sebuah novel, iaitu "Tulang-Tulang Berserakan". Novel ini  diterjemahkan ke dalam bahasa Rusia oleh Alla Rozhanskaya dengan judul "Tam Gde Ikh Nastigka Pulya" - Di sana mereka kena peluru - Moscow, 1984.

  Pada tahun 1982, Usman Awang telah terpilih menerima S.E.A. Write Awards. Usman dianugerahkan pula Ijazah Doktor Kehormat (Persuratan) oleh Universiti Malaya pada 11 Ogos 1983. Usman Awang juga adalah penerima Anugerah Sastera Negara bagi tahun 1983. Bagi menghargai sumbangan beliau dalam bidang sastera, Usman Awang juga dianugerahi gelaran kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Perak oleh DYMM Sultan Azlan Shah yang membawa gelaran Dato’ pada tahun 1991. Sekolah Kebangsaan Dato Usman Awang di Johor telah dinamakan bersempena dengan nama beliau.

  Beliau meninggal dunia setelah lama menghidap penyakit jantung pada 29 November 2001. Ketika itu, beliau berusia 72 tahun. Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan selepas solat Zuhur di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Bukit Kiara, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur. Penulis-penulis yang mengenali beliau turut hadir, antara lain Dr Anwar Ridhwan, Sutung Umar RS, Dato A. Samad Said, Dato Baha Zain, Dato Shanmugalinggam dan Profesor Muhammad Haji Salleh.

Sekian, terima kasih.


Dato' Usman Awang (Tongkat Warrant)
Sasterawan Negara Malaysia yang Ke-3





Wednesday, 11 May 2022

Abdul Samad Muhammad Said (A. Samad Said)

  Selamat sejahtera kepada pembaca yang dikasihi, hari ini saya akan memperkenalkan seorang lagi tokoh sasterawan negara kita, iaitu Abdul Samad Muhammad SaidA. Samad Said menggunakan pelbagai nama pena seperti Hilmy, Isa Dahmuri, Jamil Kelana, Manja, Mesra dan Shamsir. Beliau dilahirkan pada  9 April 1935 di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka. Beliau dan keluarganya berpindah ke Singapura apabila beliau masih berumur enam bulan. Beliau mendapat pendidikan awalnya di Sekolah Melayu Kota Raja, Singapura (1940-1946) dan Victoria Institution, Singapura (1956). Dari situ, beliau belajar sendiri hingga memperoleh sijil Senior Cambridge (1956).

  A. Samad. Said mulai berkenalan dengan kesusasteraan sejak di bangku sekolah menengah lagi,. Beliau bertemui banyak pengarang-pengarang penting seperti Asraf, Usman Awang, dan Han Suyin. Beliau membaca karya-karya Ajip Rosidi, Rendra, Pramoedya, Achdiat, Hamzah dan Wijaya Mala.  Beliau juga membaca novel-novel Barat seperti Oliver Twist, Wuthering Height dan Almayer’s Folly. Sejak di bangku sekolah, beliau telah cuba menulis sajak dan cerpen. Antara karyanya yang terkenal adalah Liar di Api,Daun-daun Berguguran,Angin Pulau dan sebagainya.

  Selain itu, beliau juga menghasilkan banyak novel, novel remaja dan kanak-kanak dan drama. Novel pertamanya berjudul nama asal ialah Gerhana kemudian ditukar judul kepada Salina. Novel ini menceritakan kehidupan daif masyarakat Melayu di Kampung Kambing, Singapura selepas Perang Dunia Kedua. Novel ini telah mengharumkan namanya. Seterusnya, Novel Sungai Mengalir Lesu juga mengisahkan masyarakat Singapura yang menderita akibat perang. Masyarakat Melayu dan orang Indonesia yang hidup melarat dan menjadi buruh di Singapura ketika diperintah tentera Jepun (1942-1946).

  Tambahan pula, beliau bukan sahaja aktif dalam penulisan, malahan beliau juga aktif dalam menyertai kontroversi. Beliau telah melancarkan Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) yang menentang Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI). Seterusnya, beliau juga antara pemimpin Perhimpunan Bersih 2011 pada 5 Julai 2011 dan menjadi pengerusi bersama Perhimpunan Bersih 2012 pada 28 April 2012.

  Pencapaian dan sumbangan Samad Said dalam memperkaya dan meninggikan nilai kesusasteraan Melayu telah mendapat penghargaan pemerintah apabila pada 29 Mei 1976, bersama-sama beberapa pengarang lain, beliau diiktiraf sebagai Pejuang Sastera. Pada tahun 1979, juga turut memberi erti kepada Samad, apabila beliau dilantik oleh Perdana Menteri sebagai salah seorang anggota panel Anugerah Sastera dan dalam tahun yang sama, beliau telah dipilih menerima Hadiah Penulisan Asia Tenggara (S.E.A. Write Awards).  Kemuncak pencapaian Samad sebagai sasterawan ialah apabila beliau dinobatkan sebagai Sasterawan Negara 1985.  Dalam majlis penganugerahan itu, telah dipentaskan sedutan drama terbaru A. Samad Said berjudul Wira Bukit.  Dalam tahun 1993, A. Samad Said menerima Anugerah ASEAN 1993 (Kategori Sastera) daripada Negara Brunei Darulsalam. Selain pengiktirafan dalam bidang sastera, A. Samad Said juga telah dianugerahkan darjah kebesaran Negeri Melaka yang membawa gelaran `Datuk’ dalam tahun 1997 oleh Yang Dipertua Negeri Melaka.

Sekian, terima kasih.

A. Samad Said
Sasterawan Negara Ke-4 (1985)


Wednesday, 4 May 2022

Cerpen Legasi Tapai Ubi

   Salam sejahtera, semua. Saya telah membaca sebuah cerpen karya Ghazali Lateh, iaitu Legasi Tapai Ubi. 

  Cerpen ini telah mengisahkan  Parjo menjual dan menghantar tapai ubi bapanya, Wak Salikon ke pasar, warung, dan kedai-kedai kampung sejak kecil lagi. Namanya sudah sebati dengan panggilan "Parjo Tapai". Diu berasa muak dengan panggilan itu, namun lama-kelamaan dia sudah terbiasa dengan gelaran tersebut kerana dia ingin membantu emak dan bapanya mencari rezeki. Proses membuat tapai ubi agak rumit. Bermula dengan proses mencabut ubi, mengopek kulit, memotong pendek-pendek, menjerang air, merebus sehinggalah kepada proses menghasilkan tapai ubi. Banyak pantang larang yang perlu dipatuh ubi semasa membuat tapai ubi, termasuklah tidak boleh memberitahu orang lain, tidak boleh terkena kotoran atau minyak, tidak boleh membuat bising dan tapai perlu dibungkus menggunakan daun pisang untuk mengekalkan kewangiannya, Melalui hasil jualan tapai itulah, Parjo dan adik-adiknya melanjutkan pelajaran ke menara gading. Profesor Haidar mengarahkan Parjo membuat kajian tentang tapai ubi yang dikatakan dapat membantu mengurangkan serangan kanser. Proses kajian dilakukan dengan mengenal pasti jenis kanser, cara kanser merebak, dan langkah mengesan kanser sehinggalah kepada proses membuat uji kaji tindak balas tapai ubi terhadap sel kanser. Parjo berjaya membuktikan bahawa tapai ubi dapat menghasilkan sejenis bakteria yang sangat bermanfaat kepada manusia, iaitu dapat mengurangkan risiko penyakit kanser. Kajian Parjo telah diiktiraf oleh pihak universiti dan dibawa ke peringkat antarabangsa. Parjo telah berjaya memperoleh ijazah kedoktoran dan bergelar Dr. Parjo. Dr. Parjo bertugas sebagai pensyarah. Dia masih meneruskan kajian tentang potensi tapai ubi sebagai pencegah alternatif kepada pelbagai jenis penyakit yang lain, terutamanya penyakit kanser. Perniagaan tapai ubi bapanya di kampung semakin berkembang sehinggalah terbinanya kilang Perusahaan Tapai Ubi Wak Salikon.

  Mesej yang ingin disampaikan melalui cerpen ini ialah kesungguhan seorang anak kepada peniaga tapai ubi yang ingin membuktikan bahawa makanan tradisional tersebut mampu menjadi penawar kepada penyakit berbahaya seperti kanser. Parjo bersungguh-sungguh untuk membuat kajian yang diarahkan oleh Profesor Haidar bagi membuktikan bahawa tapai ubi dapat mengurangkan serangan kanser. Setelah kajian demi kajian dilakukan, Parjo menemukan kebenaran tentang tapai ubi dan hubungannya dengan pencegahan kanser sehinggalah kajiannya mendapat pengiktirafan universiti dan dibawa ke peringkat antarabangsa. Setelah bergelar Dr. Parjo, dia menjadi pensyarah perubatan dan masih meneruskan kajian tentang potensi tapai ubi sebagai pencegah alternatif kepada berbagai-bagai penyakit terutamanya kanser. Oleh itu, selepas kita membaca cerpen ini, kita dapat mempelajari bahawa kita perlu sentiasa rajin dan gigih supaya kita dapat berjaya pada suatu hari nanti.

Sekian, terima kasih.

Profesor Emeritus Dato' Dr. Haji Shahnon bin Ahmad

  Salam sejahtera kepada semua. Kali ini, saya ingin memperkenalkan Profesor Emeritus Dato' Dr. Haji Shahnon bin Ahmad atau nama penanya ialah Juwahir, Tutang. Beliau ialah tokoh Sasterawan Negara Ke-2 pada 1982 serta merupakan bekas Ahli Parlimen. Beliau dilahirkan pada 13 Januari 1933 di Banggul Derdap, Sik, Kedah Darul Aman. Beliau meninggal dunia disebabkan penyakit pneumonia pada usia 84 tahun, pada jam 8 pagi hari 26 Disember 2017 di Hospital KPJ Kajang, Selangor. Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Baru Bangi pada keesokan harinya.

  Beliau telah menghasilkan banyak karya dalam bentuk cerpen, novel, drama, buku dan sebagainnya. Shahnon mula berkarya pada pertengahan tahun 1950-an, namun dalam masa 10 tahun, beliau telah muncul sebagai penulis yang mempunyai bakat besar. Beliau menghasilkan banyak cerpen yang terkenal. Misalnya, antologi cerpen Anjing-anjing, Debu Mereh, dan Selesai Sudah. Cerpennya telah memenangi Hadiah Karya Sastera. Beliau juga menulis sebuah drama berjudul Anak Rempang Karam di Kota, Alor Setar diterbitkan di Pustaka Maha pada tahun 1968. Shahnon telah menulis sebuah buku satira politik kontroversi yang paling terkenal ialah novel Shit @ PukiMak @ PM  pada tahun 1999.

  Selain cerpen, beliau juga menulis banyak novel. Novel pertama beliau ialah "Rentong"  yang diterbitkan pada tahun 1965. Melalui novel Rentong , beliau cuba menganalisis keperluan pembangunan masyarakat desa. Kisah perjuangan petani miskin di kampungnya Banggul Derdap melalui watak Dogol, Semaun, Pak Senik, Jeha, dan Lahuma. Orang kampung dengan segala kesederhanaan mereka untuk mencari rezeki yang halal, di samping menyerahkan dirinya bulat-bulat kepada Allah. Novel ini telah menaikkan namanya. Novel keduanya berjudul "Terdedah" dan novel ketiga ialah "Ranjau Sepanjang Jalan". Dua novel ini merupakan kemuncak kerjaya novelis ini. Novel Ranjau Sepanjang Jalan telah dijadikan teks sastera tingkatan enam dan diangkat menjadi sebuah filem (1983) oleh Tan Sri Kamarul Ariffin Mohamed Yassin. Ranjau Sepanjang Jalan diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris oleh Adibah Amin dengan judul No Harvest But A Thorn. Panel The Sydney Morning Herald (1973) mengangkat novel ini satu daripada 10 novel menarik tahun 1972. Ranjau Sepanjang Jalan (1966)—yang telah diadaptasi semula ke filem yang dipanggil Rice People arahan pengarah filem Kemboja, Rithy Panh, Rentong (1965), Srengenge (1973) yang telah memenangi anugerah Novel Tahunan Malaysia pada tahun 1970, serta Terdedah (1965). Novel Serengenge (1973) diangkat sebagai novel terbaik oleh Panel Hadiah Karya Sastera 1973. Novel ini memaparkan sintesis antara kepercayaan tradisi dengan ilmu psikologi moden.  

  Dengan kegigihan dan sumbangan beliau dalam menulis karya yang amat mempengaruhi kepada pembaca, beliau dianugerahkan darjah Datuk Setia Diraja Kedah yang membawa gelaran `Datuk’ daripada Sultan Kedah (1980) dan gelaran Profesor Emeritus oleh Universiti Sains Malaysia pada 11 September 1993. Gelaran Profesor Emeritus diberikan kepada individu yang telah pun menamatkan perkhidmatan mereka (selalunya selepas persaraan) dalam jawatan Profesor. Kebanyakan universiti meletakkan syarat tempoh minima perkhidmatan 10 tahun. Profesor Emeritus dipilih menerusi sumbangan yang telah beliau berikan selama tempoh berkhidmat, reputasi, rekod perkhidmatan serta impak beliau kepada institusi. Di samping itu, beliau juga dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan oleh Universiti Sains Malaysia pada 5 Ogos 1989.

Sekian, terima kasih.


Profesor Emeritus Dato' Dr. Haji Shahnon bin Ahmad
Tokoh Sasterawan Negara Ke-2

Wednesday, 27 April 2022

Drama Bukan Gila

 Salam sejahtera, semua🙋. Dalam entri ini, saya ingin mengkongsikan drama Bukan Gila karya Syarif Syaary.

  Selepas membaca, saya sangat menyukai drama ini. Walaupun plotnya  menyedihkan, tetapi ceritanya adalah menarik. Hal ini disebabkan kerana, Syarif Syaary mempunyai teknik menulis yang baik. Dalam drama ini, terdapat ketegangan dalam ceritanya, iaitu Azmir bukan mengalami sakit jiwa, tetapi menghidap penyakit barah otak. Selain itu, penulis juga bijak menggunakan teknik imbas kembali. Teknik ini telah menarik perhatian dan minat pembaca supaya ingin terus membaca.

  Drama ini bermula dengan watak utama, Azmir sedang menerima rawatan di wad pesakit jiwa Hospital Besar seorang diri dan berada dalam khayalan. Azmir sentiasa berkhayal akan kehadiran kekasihnya, Ani yang sudah meninggalkannya kerana Azmir dikatakan gila. Azmir meminta Ani membawanya keluar dari hospital, tetapi Ani mumujuk Azmir supaya terus tinggal di hospital. Seterusnya, Azmir berkhayal akan kedatangan ayahnya yang menziarahinya di wad. Azmir bertelingkah dengan ayahnya kerana dia beraggapan ayahnya tidak sayangkannya. Azmir menuduh bapanya tidak menyayanginya kerana menghantarnya ke Hospital Besar. Kemudian, Azmir berkhayal lagi kemunculan Pak Haji. Azmir bertengkar dengan Pak Haji tentang namanya yang bukan nama orang Melayu dan sikap manusia yang tidak bertindak seperti yang dikatakan oleh mereka. Azmir berkhayal kembali Ani  kehadiran Ani. Azmir dan Ani bercakap tentang cinta mereka dan makna cinta. Azmir mengatakan bahawa cinta Ani masih bersikap luaran. Selepas itu, doktor melawat Azmir di wad. Doktor memeriksa Azmir dan membenarkan Azmir bersiar-siar di luar wad.

  Amzir mengambil kesempatan untuk melarikan diri ke luar wad Hospital Besar. Kemudian, dia tiba di lokasi penggambaran drama Sasau. Perdebatan berlaku antara pelokon dan Arif tentang kekuasaan. Azmir mengatakan bahawa sistem terbaik ialah sistem yang prorakyat. Para pelakon berbincang dengan Azmir tentang sistem tersebut. Tiba-tiba Azmir berasa sakit dan meminta pelakon memicit kepalanya. 

  Azmir menghantuk-hantukkan kepala ke lantai sehingga berdarah. Azmir berguling-guling di lantai kerana kesakitan dan darah masih mengalir di pipinya. Arif dan pelakon-pelakon lain membantu Azmir. Selepas itu, doktor membawa Azmir ke hospital semula. Arif cuba menerangkan kepada doktor bahawa Azmir sedang menderita suatu penderitaan yang tidak tertanggung olehnya. Doktor mengatakan bahawa orang gila sememangnya pandai berkata-kata.

  Arif dan pelakon-pelakon lain mengunjungi ibu bapa Azmir di rumah. Mereka menerangkan keadaan Azmir kepada Arif. Arif menjelaskan bahawa Azmir bukan buat-buat gila tetapi sedang menderita suatu penderitaan. Pelakon 1 meminta ibu bapa Azmir agar memberikan perhatian dan kasih sayang kepadanya. Arif mencadangkan ibu bapa Azmir berjumpa dengan Azmir di hospital sebelum terlambat. Di wad pesakit jiwa, Azmir mengimbau kenangan lalu antaranya dengan Ani. Akhirnya, Azmir semakin lemah dan jatuh ke lantai. Ani yang berada di rumah telah membaca berita tentang kematian Azmir seorang diri di wad yang dikatakan berpunca daripada penyakit barah otak. Ani berasa bersalah dan bersikap kejam terhadap Azmir.

  Drama ini bertemakan ketabahan seorang anak muda melawan penyakit yang dihadapi. Azmir menanggung kesakitan kerana menghidap barah otak tanpa sokongan ibu bapa dan kekasih hati. Tambahan lagi, dia dianggap gila kerana mempunyai pandangan yang berbeza berbanding dengan orang lain. Penulis telah menekankan mesej kepada pembaca melalui drama ini, iaitu kita hendaklah sentiasa prihatin terhadap nasib orang lain supaya kita  dapat  membantu mereka. Contohnya, Arif prihatin terhadap nasib Azmir dan telah menasihati ibu Azmir agar segera melawat Azmir di wad pesakit jiwa sebelum terlambat. Ibu bapa Azmir dan Ani sepatutnya memberi kasih sayang yang sepenuhnya kepada Azmir. Mereka haruslah percaya tentang Azmir bukan gila dan memang menghadapi kesakitan agar Azmir boleh mendapat rawatan dengan secepat mungkin.

Sekian, terima kasih.🙆




Tuesday, 19 April 2022

Datuk Dr. Zurinah Hassan

 Selamat sejahtera, semua. Hari ini, saya ingin memperkenalkan seorang tokoh Sasterawan Negara, iaitu Datuk Dr. Zurinah Hassan. Beliau diumumkan sebagai Sasterawan Negara Ke-13 pada 13 Oktober 2015. Beliau telah mencipta sejarah Malaysia dengan menjadi wanita pertama yang dianugerahkan Sasterawan Negara. Pemilihan ini dibuat berdasarkan sumbangan besarnya melalui karya dan pemikirannya terhadap pengembangan sastera serta impak dalam penyebaran ilmu.

  Beliau dilahirkan pada 13 Jun 1949 di Bakar Bata, Alor Setar, Kedah dan dibesarkan di Tikam Batu, Kedah. Beliau mendapat pendidikan formal awal di Sekolah Melayu Tikam Batu (1956-1960) dan Sekolah Inggeris Sungai Layar, iaitu melalui Special Malay Class (1961-1963). Beliau menyambung pelajaran peringkat menegah di Sekolah Convent Sungai Petani (1964-1966) dan Sekolah Menengah Sultanah Asma, Alor Setar, Kedah (1967-1970). Pada tahun 1971, Zurinah Hassan melanjutkan pelajaran ke Universiti Pulau Pinang (sekarang Universiti Sains Malaysia) dalam jurusan Ilmu Kemanusiaan dan mendapat Ijazah Sarjana Muda Sastera pada tahun 1974. Setelah bersara secara pilihan daripada perkhidmatan kerajaan, beliau meneruskan pengajian Ijazah Sarjana Sastera di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Putra Malaysia (UPM) pada tahun 1998-2001. Seterusnya, beliau menyambung pelajaran ke peringkat kedoktoran di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya pada tahun 2003 dan berjaya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah pada tahun 2008.

  Zurinah Hassan pernah berkhidmat sebagai Pegawai Penerangan di Jabatan Penerangan, Kementerian Penerangan Malaysia. Selain itu, Zurinah Hassan juga pernah bertugas sebagai Ketua Cawangan Pengurusan Maklumat, Kementerian Penerangan Malaysia. Beliau juga pernah menjadi Karyawan Tamu di institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1997-1998. Pada tahun 2011, Zurinah Hassan dilantik sebagai Pakar Perunding dan Felow Penyelidik di Akademi pengajian Melayu, Universiti Malaya sehingga menamatkan perkhidmatannya pada bulan Oktober 2015.

   Pada mulanya, Zurinah Hassan mengarang puisi secara sambilan, tetapi beliau berasa terganggu akibat beban kerja. Beliau membuat keputusan untuk meletak jawatan bagi memenuhi keinginan berkarya sepenuh masa. Beliau telah bermula menceburi dalam bidang penulisan sejak zaman persekolahannya dan menghayati keindahan alam dalam bentuk tulisan pada tahun 1963, iaitu beliau berusia 12 tahun lagi. Zurinah turut cuba mengetengahkan persoalan sejagat dalam tulisannya termasuk puisi mengenai gejala melepak di kalangan remaja pada tahun 1990-an. 

  Beliau telah menghasilkan sebanyak 19 buku antologi sajak, antologi puisi, kajian sastera, autobiografi, antologi cerpen dan novel.  Antara karyanya seperti Keputusan, Sesekali Aku Menjauhkan Diri Dari Puisi, Tanjung Dawai, Sungai Tiang, Dari Gunung Jerai ke Pekan Rabu, Kuala Lumpur, Pantai Remis dan Bas Stand Kelang. Zurinah turut menghasilkan sebuah buku Memoir Zurinah Hassan: Menjejak Puisi, penerbitaUniversiti Kebangsaan Malaysia.

  Dengan usaha gigih beliau yang berterusan dan sumbangannya dalam bidang kesasteraan, beliau telah dianugerahkan sebagai penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (S.E.A Write Award) pada tahun 2004. Selain itu, beliau juga dianugerahkan Hadiah Sastera 1984, Hadiah Kategori Buku, Hadiah-hadiah untuk karya-karya puisi, cerpen (eceran) Hadiah sastera Perdana, Hadiah Pertama Pertandingan Menulis Cerpen Berunsur Islam Jabatan Perdana Menteri (1984) dan Hadiah Utama Anugerah Puisi Putera (1984).

Sekain, terima kasih.


Datuk Dr. Zurinah Hassan
Sasterawan Negara Ke-13






Tuesday, 12 April 2022

Drama Berkhidmat Untuk Negara

  Selamat sejahtera,semua. Hari ini, saya akan mengkongsikan 💁Dram Berkhidmat Untuk Negara karya Affix Zulkarnain Adam.

  Drama ini menceritakan Aiman menerima sepucuk surat daripada posmen pada waktu tengah hari ketika duduk bersantai di rumah. Surat tersebut dihantar daripada Jabatan latihan Khidmat Negara bertujuan untuk meminta Aiman menyertai Program Latihan Negara (PLKN). Namun, Aiman berasal daripada keluarga yang berada dan sudah biasa hidup dalam kemewahan. Segala kerjanya di rumah dibantu oleh orang gaji, Nek Sinah. Aiman enggan menyertai PLKN, hanya perkara yang negatif terlintas dalam fikirannya ketika bermimpi. Contohnya, Aiman bermimpi keadaan kem yang panas, makanan yang tidak menyelerakan, mandi air kolam sejuk dan membotakkan kepala semasa menyertai PLKN.

  Di sekolah, Aiman, Nora, Sundarani, Ah Tiau dan Syuhada berbincang tentang senarai nama peserta PLKN yang dipaparkan di papan kenyataan. Nora, Sundarani, Ah Tiau dan Syuhada berasa gembira kerana mereka terpilih sebagai peserta PLKN. Cikgu Dahari juga menerangkan kepada anak-anak muridnya tentang manfaat PLKN dan bagaimana program itu dijalankan.

  Apabila Aiman pulang, ayahnya, Khir Ghazali sudah berada di rumah. Ayah Aiman merupakan seorang hartawan yang sibuk bekerja. Manakala, ibu Aiman, Masnah ialah seorang Datin yang juga selalu tidak berada di rumah. Aiman meminta ayahnya membantu dia mendapatkan pengecualian daripada PLKN. Ayahnya menolak permintaannya dengan bertegas kerana beliau mengetahui PLKN akan memberi banyak manfaat kepada anak muda. Ibu Aiman menyokong hasrat Aiman untuk tidak menyertai PLKN. Beliau merisaukan tentang keselamatan nyawa anaknya semasa menghadiri PLKN. Ibu Aiman meminta suaminya menggunakan kedudukan dan pengaruhnya untuk mendapatkan pengecualian untuk Aiman daripada menghadiri PLKN.

  Aiman melayari Internet di biliknya dan ketika melayari beberapa sesawang, dia terbaca berita mengenai kejayaan pelajar-pelajar seniornya di PLKN. Syufia yang dikenali sebagai kera sumbang di sekolah berjaya memperoleh anugerah pelatih terbaik WIRAWATI untuk Kem Gerakkan di Desaru Johor. Manakala Ziman yang kuat makan dan tidur juga berjaya menyertai PLKN. Aiman sedar akan PLKN dan bertekad untuk menyertainya.

  Drama ini memberi pengajaran kepada pembaca. Kita hendaklah mempunyai semangat patriotik dan cinta akan negara. Sebagai contoh, Aiman akhirnya menyahut seruan berkidmat untuk negara dengan menyertai PLKN. Pengajaran ini juga boleh dilihat dari peristiwa kawan-kawan Aima bersemangat tinggi dan berasa gembira untuk menyertai PLKN. Ayah Aiman, Cikgu Dahari dan posmen juga menyokong Aiman menyertai PLKN untuk berkhidmat untuk negara.


Program Latihan Negara (PLKN)

Tuesday, 5 April 2022

Kamaluddin Muhamad (Keris Mas)

 Salam sejahtera, semua.👋

  Dalam entri ini, saya ingin memperkenalkan seorang tokoh penulis yang penting di Malaysia, iaitu Kamaluddin Muhamad. Beliau lebih dikenali dengan nama penanya Keris MasBeliau dilahirkan di Kampung Ketari, Bentong, Pahang pada 10 Jun 1922 dan meninggal dunia di Hospital Besar Kuala Lumpur pada 9 Mac 1992 kerana sakit jantung. Beliau merupakan penerima Anugerah Sastera Negara yang pertama pada 26 April 1981. Beliau dianugerahkan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar di Dewan Bankuet, Bangunan Parlimen. 

  Keris Mas telah melahirkan sebanyak 60 buah cerpen yang bukan sahaja berfokus kepada perjuangan kebangsaan dan kisah darurat yang berlaku ketika itu, namun juga dalam soal cinta, kepincangan masyarakat dan keadaan sosial-politik sesudah merdeka. Cerpen pertamanya berjudul Wasiat Orang Bangsawan dan diterbitkan di majalah Suluh Malaya pada 1 Jun 1946. Selain itu, cerpen lain beliau seperti Mekar dan Segar (1959), Dua Zaman (1963), Patah Tumbuh (1963) dan Pertentangan (1968). Antologi cerpennya "Patah Tumbuh" pernah menjadi teks subjek Kesusasteraan Melayu di peringkat STPM.

  Manakala, novel pertamanya ialah Pahlawan Rimba Malaya yang telah diterbitkan pada tahun 1976. Semasa beliau menulis novel ini, beliau menghadapi masalah kekurangan kertas. Masalah ini  menyebabkan beliau terpaksa menyingkatkan novel tersebut daripada manuskrip asal. Antara novel lain beliau ialah Pahlawan Rimba Malaya (1946), Korban Kesuciannya (1949), Anak Titiwangsa (1967), Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur (1983) dan Rimba Harapan (1985). Novel Rimba Harapan telah diterjemahkan oleh Adibah Amin, salah seorang penerima SEA Write Award tahun 1963 kepada 'Jungle of Hope' dan diangkat sebagai teks kajian komponen sastera, Bahasa Inggeris SPM.

  Keris Mas telah memberi impak besar pada masyarakat Malaysia dan karyanya banyak berpengaruh kepada golongan penulis muda. Dengan ini, beliau dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan oleh Universiti Sains Malaysia pada 5 Ogos 1989. Selain itu, sebuah kolej kediaman mahasiswa di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bandar Baru Bangi telah diberi nama ‘Kolej Keris Mas’ sempena nama beliau.


Kamaluddin Muhamad (Keris Mas)
Tokoh Sasterawan Negara Pertama



Tuesday, 29 March 2022

Cerpen Kasut Kelopak Jantung

Salam sejahtera semua,💁

    Hari ini,saya ingin berkongsi sebuah cerpen yang bertajuk “Kasut Kelopak Jantung” karya Ghazali Lateh. Saya telah membaca cerpen ini semasa saya Tingkatan 1. Walaupun sudah beberapa tahun saya baca, tetapi saya masih ingat ceritanya dengan jelas. Saya baca semula cerpen ini kerana namanya disebut oleh rakan kursus apabila dia memperkenalkan diri dalam kuliah pertama BBK3410. 

    "Kasut Kelopak Jantung" ialah sebuah cerpen yang ringkas dan mudah difahami. Dalam cerpen ini, pengarang dengan bijiaknya menggunakan teknik plot imbas kembali untuk menarik perhatian pembaca. Pada permulaan, cerpen ini mengisahkan Cikgu Harun menerima hadiah berupa kasut berjenama mahal pada Hari Guru. Kemudian, Cikgu Harun mengingati semua peristiwa sewaktu beliau bertugas sebagai guru di kawasan pedalaman yang telah berlaku 30 tahun yang lalu. Sebenarnya, Cikgu Harun tahu pengirim hadiah itu walaupun hadiah tersebut tidak dikirim secara pos.

  Cikgu Harun baru mula bertugas sebagai guru digambarkan sebagai berdarah muda dan kurang memahami kesusahan muridnya, iaitu Ahmad yang berasal dari keluarga miskin. Cikgu Harun menegur tegas dan mendenda Ahmad yang berkaki ayam. Cikgu Harun menyuruh Ahmad mencari tali rafia untuk mengikat kelopak jantung pisang di kakinya untuk dijadikan kasutnya.

  Ahmad berasa malu dan sedih atas denda yang dikenakan oleh Cikgu Harun. Sejak hari itu, Ahmad tidak hadir ke sekolah dan ingin berhenti sekolah. Khabar bahawa Ahmad mahu berhenti sekolah menyebabkan Cikgu Harun mengambil keputusan untuk pergi ke rumah Ahmad. Cikgu Harun tersentuh dan berasa kesal selepas mengetahui keadaan keluarga yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Akhirnya, Cikgu Harun bergegas ke pekan berhampiran untuk membeli sepasang kasut sekolah baharu kepada Ahmad.

  Pada peleraian cerpen ini, walaupun Cikgu Harun sudah bersara namun beliau masih menerima sepasang kasut berjenama pada setiap Hari Guru. Hal ini mengambarkan Ahmad ialah seorang yang taat dan mengenang jasa.

  Messej penting yang ingin disampaikan dalam cerpen ialah kemiskinan bukan penghalangan untuk mencapai kejayaan. Sebagai contoh, Ahmad berasal dari keluarga miskin sehingga tidak mampu membeli sepansang kasut, tetapi dengan kerajinan dan ketekunan, akhirnya dia menjadi pengurus besar syarikat pengeluar kasut di bandar. Oleh itu, pengajaran cerpen ini adalah kita perlulah berusaha dengan gigih kerana kegigihan adalah faktor kejayaan. Selain itu, kita perlulah mengingati jasa orang lain yang menghulurkan bantuan kepada kita. Buktinya, Ahmad mengenang budi Cikgu Harun dengan mengirimkan sepasang kasut setiap Hari Guru.

Sekian, Terima kasih💕

Cerpen Kasut Kelopak Jantung karya Ghazali Lateh.



Gambar ini menunjukkan kelopak jantung pisang.



BBK3401 PENGLAHIRAN BAKAT KREATIF

  Salam sejahtera saya ucapkan kepada pembaca saya. Dalam entri kali ini, saya ingin menyuarakan pengalaman saya tentang mengambil kursus BB...