Salam sejahtera, semua.👋
Dalam entri ini, saya ingin memperkenalkan seorang tokoh penulis yang penting di Malaysia, iaitu Kamaluddin Muhamad. Beliau lebih dikenali dengan nama penanya Keris Mas. Beliau dilahirkan di Kampung Ketari, Bentong, Pahang pada 10 Jun 1922 dan meninggal dunia di Hospital Besar Kuala Lumpur pada 9 Mac 1992 kerana sakit jantung. Beliau merupakan penerima Anugerah Sastera Negara yang pertama pada 26 April 1981. Beliau dianugerahkan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar di Dewan Bankuet, Bangunan Parlimen.
Keris Mas telah melahirkan sebanyak 60 buah cerpen yang bukan sahaja berfokus kepada perjuangan kebangsaan dan kisah darurat yang berlaku ketika itu, namun juga dalam soal cinta, kepincangan masyarakat dan keadaan sosial-politik sesudah merdeka. Cerpen pertamanya berjudul Wasiat Orang Bangsawan dan diterbitkan di majalah Suluh Malaya pada 1 Jun 1946. Selain itu, cerpen lain beliau seperti Mekar dan Segar (1959), Dua Zaman (1963), Patah Tumbuh (1963) dan Pertentangan (1968). Antologi cerpennya "Patah Tumbuh" pernah menjadi teks subjek Kesusasteraan Melayu di peringkat STPM.
Manakala, novel pertamanya ialah Pahlawan Rimba Malaya yang telah diterbitkan pada tahun 1976. Semasa beliau menulis novel ini, beliau menghadapi masalah kekurangan kertas. Masalah ini menyebabkan beliau terpaksa menyingkatkan novel tersebut daripada manuskrip asal. Antara novel lain beliau ialah Pahlawan Rimba Malaya (1946), Korban Kesuciannya (1949), Anak Titiwangsa (1967), Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur (1983) dan Rimba Harapan (1985). Novel Rimba Harapan telah diterjemahkan oleh Adibah Amin, salah seorang penerima SEA Write Award tahun 1963 kepada 'Jungle of Hope' dan diangkat sebagai teks kajian komponen sastera, Bahasa Inggeris SPM.
Keris Mas telah memberi impak besar pada masyarakat Malaysia dan karyanya banyak berpengaruh kepada golongan penulis muda. Dengan ini, beliau dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan oleh Universiti Sains Malaysia pada 5 Ogos 1989. Selain itu, sebuah kolej kediaman mahasiswa di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bandar Baru Bangi telah diberi nama ‘Kolej Keris Mas’ sempena nama beliau.
No comments:
Post a Comment