Salam sejahtera, semua. Dalam penulisan ini, saya akan memperkenalkan Sasterawan Negara Malaysia yang Ke-3, iaitu Dato' Usman Awang. Beliau terkenal dengan nama penanya Tongkat Warrant. Usman Awang juga dikenali dengan nama Adi Jaya, Amir, Atma Jiwa, Manis, Pengarang Muda, Rose Murni, Setiabudi, U.A., Zaini dan barangkali lain-lain lagi. Beliau dilahirkan di Kampung Tanjung Lembu, Kuala Sedili, Kota Tinggi, Johor, pada 12 Julai 1929. Beliau berasal dari keluarga yang miskin. Ayahnya ialah seorang nelayan dan akan menjual rotan pada waktu musim tengkujuh. Ibunya telah meninggal dunia sewaktu beliau masih kecil lagi. Situasi dan keluarganya yang miskin tidak membenarkan beliau untuk meneruskan pendidikannya. Beliau hanya mampu belajar setakat darjah enam sahaja. Hari ini, saya mengkongsikan beliau adalah bertujuan untuk memberitahu pembaca, miskin tidak akan menghalang seseorang untuk berjaya. Dengan rajinnya seseorang, kita tentu akan berjaya.
Beliau mempunyai banyak karya yang baik dalam bentuk cerpen, drama, novel, sajak dan sebagainya. Dalam bidang penulisan beliau lebih terkenal dengan lebih 200 puisi dan drama. Antara sajaknya yang cukup popular adalah “Pak Utih”, “Ke Makam Bonda”, “Nasib Buruh”, “Bunga Popi”, “Gadis Di Kuburan”, dan “Salam Benua”. Dramanya yang terkenal ialah "Matinya Seorang Pahlawan", "Tamu Bukit Kenny", "Serunai Malam" dan "Malam Kemerdekaan". Beliau hanya menulis sebuah novel, iaitu "Tulang-Tulang Berserakan". Novel ini diterjemahkan ke dalam bahasa Rusia oleh Alla Rozhanskaya dengan judul "Tam Gde Ikh Nastigka Pulya" - Di sana mereka kena peluru - Moscow, 1984.
Pada tahun 1982, Usman Awang telah terpilih menerima S.E.A. Write Awards. Usman dianugerahkan pula Ijazah Doktor Kehormat (Persuratan) oleh Universiti Malaya pada 11 Ogos 1983. Usman Awang juga adalah penerima Anugerah Sastera Negara bagi tahun 1983. Bagi menghargai sumbangan beliau dalam bidang sastera, Usman Awang juga dianugerahi gelaran kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Perak oleh DYMM Sultan Azlan Shah yang membawa gelaran Dato’ pada tahun 1991. Sekolah Kebangsaan Dato Usman Awang di Johor telah dinamakan bersempena dengan nama beliau.
Beliau meninggal dunia setelah lama menghidap penyakit jantung pada 29 November 2001. Ketika itu, beliau berusia 72 tahun. Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan selepas solat Zuhur di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Bukit Kiara, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur. Penulis-penulis yang mengenali beliau turut hadir, antara lain Dr Anwar Ridhwan, Sutung Umar RS, Dato A. Samad Said, Dato Baha Zain, Dato Shanmugalinggam dan Profesor Muhammad Haji Salleh.
Sekian, terima kasih.
No comments:
Post a Comment