Selamat sejahtera kepada pembaca yang dikasihi, hari ini saya akan memperkenalkan seorang lagi tokoh sasterawan negara kita, iaitu Abdul Samad Muhammad Said. A. Samad Said menggunakan pelbagai nama pena seperti Hilmy, Isa Dahmuri, Jamil Kelana, Manja, Mesra dan Shamsir. Beliau dilahirkan pada 9 April 1935 di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka. Beliau dan keluarganya berpindah ke Singapura apabila beliau masih berumur enam bulan. Beliau mendapat pendidikan awalnya di Sekolah Melayu Kota Raja, Singapura (1940-1946) dan Victoria Institution, Singapura (1956). Dari situ, beliau belajar sendiri hingga memperoleh sijil Senior Cambridge (1956).
A. Samad. Said mulai berkenalan dengan kesusasteraan sejak di bangku sekolah menengah lagi,. Beliau bertemui banyak pengarang-pengarang penting seperti Asraf, Usman Awang, dan Han Suyin. Beliau membaca karya-karya Ajip Rosidi, Rendra, Pramoedya, Achdiat, Hamzah dan Wijaya Mala. Beliau juga membaca novel-novel Barat seperti Oliver Twist, Wuthering Height dan Almayer’s Folly. Sejak di bangku sekolah, beliau telah cuba menulis sajak dan cerpen. Antara karyanya yang terkenal adalah Liar di Api,Daun-daun Berguguran,Angin Pulau dan sebagainya.
Selain itu, beliau juga menghasilkan banyak novel, novel remaja dan kanak-kanak dan drama. Novel pertamanya berjudul nama asal ialah Gerhana kemudian ditukar judul kepada Salina. Novel ini menceritakan kehidupan daif masyarakat Melayu di Kampung Kambing, Singapura selepas Perang Dunia Kedua. Novel ini telah mengharumkan namanya. Seterusnya, Novel Sungai Mengalir Lesu juga mengisahkan masyarakat Singapura yang menderita akibat perang. Masyarakat Melayu dan orang Indonesia yang hidup melarat dan menjadi buruh di Singapura ketika diperintah tentera Jepun (1942-1946).
Tambahan pula, beliau bukan sahaja aktif dalam penulisan, malahan beliau juga aktif dalam menyertai kontroversi. Beliau telah melancarkan Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) yang menentang Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI). Seterusnya, beliau juga antara pemimpin Perhimpunan Bersih 2011 pada 5 Julai 2011 dan menjadi pengerusi bersama Perhimpunan Bersih 2012 pada 28 April 2012.
Pencapaian dan sumbangan Samad Said dalam memperkaya dan meninggikan nilai kesusasteraan Melayu telah mendapat penghargaan pemerintah apabila pada 29 Mei 1976, bersama-sama beberapa pengarang lain, beliau diiktiraf sebagai Pejuang Sastera. Pada tahun 1979, juga turut memberi erti kepada Samad, apabila beliau dilantik oleh Perdana Menteri sebagai salah seorang anggota panel Anugerah Sastera dan dalam tahun yang sama, beliau telah dipilih menerima Hadiah Penulisan Asia Tenggara (S.E.A. Write Awards). Kemuncak pencapaian Samad sebagai sasterawan ialah apabila beliau dinobatkan sebagai Sasterawan Negara 1985. Dalam majlis penganugerahan itu, telah dipentaskan sedutan drama terbaru A. Samad Said berjudul Wira Bukit. Dalam tahun 1993, A. Samad Said menerima Anugerah ASEAN 1993 (Kategori Sastera) daripada Negara Brunei Darulsalam. Selain pengiktirafan dalam bidang sastera, A. Samad Said juga telah dianugerahkan darjah kebesaran Negeri Melaka yang membawa gelaran `Datuk’ dalam tahun 1997 oleh Yang Dipertua Negeri Melaka.
Sekian, terima kasih.
No comments:
Post a Comment