Muhammad bin Abdul Beang @ Andi Muhammad Dahlan bin Andi Buyung ialah tokoh Sasterawan Negara Malaysia Ke-5 pada tahun 1988. Beliau lebih dikenali sebagai Arena Wati. Nama pena lainnya ialah Duta Muda dan Patria. Arena Wati dilahirkan pada 30 Julai 1925 di Kalumpang Kabupaten, Jeneponto, Makasar, Indonesia. Arena Wati menjadi warganegara Malaysia semasa beliau bertugas di Pustaka Antara, Kuala Lumpur di antara tahun 1962 hingga 1974. Beliau dirawat di Hospital HUKM Bandar Tun Razak sejak 20 September 2008 kerana barah paru-paru. Arena Wati meninggal dunia di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia pada 25 Januari 2009. Jenazah Arena Wati dibawa ke Masjid Wilayah Persekutuan di Jalan Duta untuk disembahyangkan dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.
Semasa Perang Dunia II, beliau memulakan kerjayanya sebagai pelaut pada tahun 1943. Pengalamannya dalam bidang ini meningkatkan lagi kemampuan beliau dalam penulisan dan menghasilkan novel yang baik. Beliau telah menghasilkan sebanyak 24 buah novel, 87 buah cerita pendek, 6 buah antologi cerpen, 23 esei dan kritikan sastera, 9 buah buku kajian sastera, 12 buah puisi dan sebuah autobiografi. Pada tahun 1952, cerpen pertamanya yang berjudul “Impian dan Kenyataan” telah diterbitkan di majalah Pedoman Rakyat. Cerpennya yang lain ialah Wisata, Bukan Satu Jalan Ke Mekah, Alin Menggulung Perlahan, Burung Badai, Ombak Samudera dan lain-lain. Selain itu, beliau juga menghasilkan banyak novel. Novelnya yang popular adalah Sandera, Sukma Angin, Lingkaran dan Kisah Tiga Pelayaran. Trilogi Bara-Baraya adalah karyanya yang disiapkan ketika dirawat di HUKM. Karya tersebut berkisar mengenai perjuangan Melayu Nusantara.
No comments:
Post a Comment